Tika Bidadari Berbisik


APA khabar wahai bidadari milik ALLAH S.W.T? Saya juga hanyalah insan seperti kalian. Seorang perempuan yang dilahirkan tanpa keistimewaan, hanya manusia biasa. Namun takdir yang dijalani tidak serupa seperti kalian. Manusia ini ditakdirkan dengan corak hidup yang berbezabeza. Meskipun pepohonan akar kita berbeza, insya-ALLAH di hujung ranting akan bertemu satu jalan yang sama.

Kalian,

Saya tidak bertuah seperti kalian yang dikurniakan ILAHI seorang suami dan permata-permata soleh dan solehah sebagai pewaris agama dan keturunan. Sangat cemburu rasa di hati melihat hadiah ALLAH S.W.T kepada kalian. Namun akhirnya saya meyakini kebahagiaan kalian di dunia ini adalah berbentuk demikian dan kebahagiaan yang saya terima adalah dengan cara yang berbeza.

Saya beranggapan positif bahawa TUHAN belum lagi mengurniakan kebahagiaan mungkin kerana DIA terlalu menyayangi dan sedang memelihara saya. Mungkin pada suatu masa yang sesuai akan menyerahkan saya kepada lelaki yang terbaik mengikut pandangan-NYA. Jika tidak dikurniakan di dunia, mungkin telah disimpan seseorang untuk saya di syurga kelak. Nantikan sahaja kepulangan saya di sisi ALLAH S.W.T. Saya pasti akan merona-rona cinta pemberian-NYA kelak. Alhamdulillah….doa saya semoga kalian menghargai pemberian TUHAN dan bagi yang seperti saya dapat mensyukuri apa yang dianugerahkan.

Kalian,

Janganlah memandang serong perempuan seperti kami yakni yang tidak punya teman berkongsi duka di sisa kehidupan ini. Setiap manusia dilahirkan berbeza sifat, niat dan perbuatan. Kami pasti pernah berasa kesunyian dan kesepian. Tentu sekali adakalanya menitis setitis dua air mata melihat kebahagiaan kalian.Pernah menerjah di hati, kenapa kami tidak bisa memilikinya? Namun sebibit iman telah menguatkan kami dan mendidik kami untuk mengenal maksud redha, tawakal dan “La tahzan” yakni jangan bersedih.

Walaupun kita dilahirkan atas nama perempuan, tetapi ALLAH S.W.T telah mencipta kita dengan berbeza-beza sifat dan berbeza niat. Ada perempuan yang sangat mencintai dunia dan akan melakukan apa sahaja untuk mencapai niat. Ada perempuan yang sekadar ingin menumpang kasih dan berkongsi tempat mengadu di akhir sisa kehidupan. Mungkin ada sebahagian perempuan yang tidak sanggup melihat perempuan lain dilukai malah mungkin juga ada perempuan yang memilih untuk hidup dan matinya kerana ALLAH S.W.T dan mencintai Rasulullah s.a.w. Inilah kehidupan! Aneka interpretasi dan pelbagai corak lakaran kehidupan. Jadi di manakan letaknya diri kita?

Menjadi isteri kepada seorang suami adalah impian setiap wanita. Apatah lagi, jika dianugerahi kebahagiaan dan kesetiaan yang berpanjangan. Namun bukan semua wanita memilikinya. Bersabarlah. Ajarlah hati dengan kesabaran dan sentiasa redha dengan pemberian ILAHI. Insya-ALLAH hati akan tenang, setenang air di kali...

Hidup di dunia yang serba mencabar ini sangat menakutkan bagi hati yang tidak kuat. Ada dalam kalangan kita sering berjumpa dengan orang yang salah. Apakah yang dimaksudkan dengan orang salah? Iaitu orang yang tidak sesuai dan tidak menepati cita rasa malahan mungkin juga mereka yang mempunyai niat serong. Inilah kelemahan manusia, tidak mampu menilai hati seseorang; baik atau sebaliknya. Juga tidak mampu menapis dan memeriksa niat mereka. Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahuinya,maka kepada-NYAlah yang seharusnya menjadi tempat bergantung. Kepada-NYA jualah kita bertanya, kepada-NYAlah kita menanti jawapannya. Dalam lembut, ALLAH S.W.T akan menjawab soalan kita. Yakinlah..

Menyakiti hati wanita lain bukanlah suatu perkara yang harus dibanggakan. Merampas tanpa rela dan merosakkan hubungan wanita lain hanya untuk kepentingan kebahagiaan diri sendiri juga bukan sesuatu yang harus dibanggakan. Bahagiakah apabila tidak mendapat kemaafan daripada mereka yang kita sakiti? Mampukah dibayar kembali penderitaan yang dihadiahkan kepada kita? Mampukah menakung kembali air mata yang tumpah kerana kita? Sulitkah hidup jika kita ditakdirkan bersendiri di muka bumi ini?

Kini baru saya sedari ada sesuatu yang harus saya cintai dan kini saya ketahui curahan cinta ini untuk siapa. Setelah penuh liku yang dilalui yang menjanjikan kepalsuan, saya sedari bahawa indahnya mencintai ALLAH S.W.T dan Rasulullah s.a.w. Mengenali baginda s.a.w dan perjuangannya melalui naskhah hakiki, telah menerbitkan cinta saya kepada junjungan besar itu. Betapa saya amat merindui baginda sehingga tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.

Adakalanya, saya berasa sangat rindu kepada baginda dan alangkah indahnya jika baginda s.a.w masih ada bersama. Saya pasti ingin berusaha berada hampir di sisi baginda s.a.w. Melihat senyumannya melalui kejauhan juga tidak kira nyata atau mimpi, pasti akan menenggelamkan saya dalam lautan kebahagiaan dan menghapuskan parut dan luka di hati.

Mencintai ALLAH S.W.T dan Rasulullah s.a.w adalah perasaan terhebat yang harus kita cari. Menggali cinta ini di sisa kehidupan adalah jauh membuahkan kebahagiaan dari terus mendamba cinta si Adam yang entahkan suci entahkan tidak. Indahnya akhlak Rasulullah s.a.w tidak dapat digambarkan dan saya sering berasa bertuahnya Sayidatina Siti Khadijah, Siti Aisyah dan isterinya yang lain kerana dapat mendekati baginda s.a.w.

Memikirkan mencari pasangan yang berakhlak seperti Rasulullah s.a.w ternyata sangat sukar pada zaman yang sangat pantas ini. Malah mungkin sudah pupus di muka bumi ini. Cukuplah pada saya andai seseorang lelaki mementingkan tiga perkara di dalam hidupnya iaitu solat, puasa dan zakat seperti termaktub di dalam al-Quran. Insya-ALLAH, saya percaya sekiranya lelaki di dunia ini mengambil berat akan tiga perkara ini, maka dia mempunyai asas yang agak kukuh dan boleh ditajamkan sebagai khalifah besar atau khalifah kecil. Akan saya ingat sampai bila-bila hadis Rasulullah s.a.w di bawah ini sebagai kekuatan diri.

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, 

“Demi zat ALLAH yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaan-NYA, tidaklah seseorang daripada anda semua itu sempurna keimanannya, sehingga saya lebih disukai yakni lebih dicintai untuknya daripada ayahnya sendiri dan anaknya.”